Selasa, 17 November 2009

18Nov 1987


22 tahun telah berlalu. Arwah mak telah meninggalkan kita dikala aku baru 3 tahun melangkah ke alam pekerjaan. Seminggu sebelum itu, arwah mak berada 10 hari di rumahku untuk bersama anak isteriku kerana aku bertugas di EXPO Peladang Petrajaya, Kuching. Terdapat beberapa perlakuannya yang aneh yang hanya dapat dikesan setelah beliau tiada.


Semasa berbual dengannya arwah mak pernah menyuruh aku bertanya para ustaz apa hukumnya menyuruh orang mengaji atas kubur selepas seseorang itu meningal dunia. Dia juga bercerita yang anak jiran di kampong, Wahidin, walaupun ada sedikit kurang tapi selalu membayar bil api air surau madrasah tiap bulan bersedekah untuk arwah bapa dia. Arwah juga berkata kalau dia mati, dia tak nak menyusahkan anak2 yakni tak nak sakit lama. Di hari akhir di rumahku, arwah beriya betul minta izin nak minta ambil sikit minuman dalam peti ais. Dia juga memasak gulai taucu khas untuk aku buat makan malam nanti seolah2 itulah bekalan last untukku.


Semasa arwah mak kena strok pertama dan dihantar ke Hospital Ipoh menggunakan ambulan Sg Siput (U) pada 17Nov 1987, aku masih berkerja dalam lab di bawah Dr Mohd Ali Sekak. Aku pun minta izin beliau untuk menziarahi arwah mak di Wad Hospital Besar Ipoh. Malam tu aku dapat naik ke wad untuk berjumpa mak, walaupun terpaksa memanjat tangga khas untuk bolos ke atas. Ada adik beradik yang sangkut tak dapat naik dari pintu lif kerana Jaga amat setia menanti dan akur pada perintah Bukan Waktu Melawat. Malam tu walaupun arwah mak dah strok sebelah badan, sudah pun sejuk dan lemah separuh badan tapi masih jelas sebutannya. Dia masih berupaya bercakap bertanyakan anak isteriku yang berada di bawah. MakCu, adik bapalah yang menjaga mak ketika itu. Selesai malam tu kami balik ke Malim Nawar.


Pagi keesokannya, ketika bersarapan nasi lemak, panggilan telefon dari MakCu memberitahu mak sudah nazak setelah terkena strok kali kedua. Awal pagi, arwah mak dikatakan minta MakCu mandikan dia bersih2 seolah2 bersiap sedia akan pergi jauh. Sampai ke hospital pagi tu masalah besar untuk dapat naik ke atas. Kerana Jaga ni benak macam robot tak tau apa itu budibicara dan nazak, tengah adikberadik bertengkar dengan Jaga, aku dan beberapa yang lain berlari naik ke atas ikut tangga. Sampai di atas, seorang doktor Cina sedang memeriksa mak. Bila kami menghampiri mak, Dr berkata,'Don't talk to her...don't talk to her!'. Sedang kami terpinga2 melihat mak sedang nazak, datang seorang HA/atenden lebai datang bawa bangku seraya berkata,'Cepat abang, bacalah Yasin..jangan peduli dia bukan Islam mana dia tau apa!' Aku dan yang lain pun duduk membaca Yasin disamping bergilir2 dengan yang lain mengajar mak mengucap. Tangan aku memegang tangan mak. Selepas 3 kali Yasin, diselangseli dengan mengucap di telinga mak, aku terasa nadi mak terhenti dan ombak di dada mak sudah terhenti. Innalillahi wainnailaihirajiun! Arwah mak telah pergi buat selamanya, setitis air mata dilihat mengalir di pipinya...Pihak hospital menutup mayat mak dan dibiarkan dalam sejam sebelum urusan membawa pulang jenazah dibuat.


Semasa proses mengeluarkan surat mati, petugas seorang India membebel, 'this is the problem, nowadays everybody take that palm oil,,,,cholesterol..bla..bla..bla,..'. Mamat ni tak tau yang aku keje tempat sawit dan aku taulah minyak sawit mana ada kolesterol. Sebab dalam kesedihan, tak larat aku nak melayan benda karut marut petugas itu. Aku mengiringi arwah dalam kereta jenazah balik ke Malim Nawar. Orang kampung terkejut besar bila dapat tahu yang mak yang dikatakan pergi hantar belanja kahwin abangku, balik dalam kereta jenazah.


Arwah diselenggara dengan lancar dan dapat dikebumikan selepas asar di Malim Nawar. Bapa yang ada ketika itu amat stabil sekali tetapi tidak dapat menahan sebak dan kesedihan keesokan harinya. Rosnu pula ketika itu masih menuntut di England. Bila mak dah tak ada, baru aku tahu betapa sunyinya hati aku. Hilang tempat aku bermanja, melawak, berkongsi maklumat suka dan duka walaupun ketika itu aku sudah berumahtangga.


Kini bila aku sudah agak stabil dengan gaji yang selesa dan dengan segala kemudahan, anak isteri dll, terasa sebak di dada setiap kali aku menikmati hidangan lazat mahupun berjalan ke sana ke mari, kerana aku tidak sempat memberi mak segala itu di kala dia masih hidup. Maklumlah ketika mula bekerja gaji baru RM745, gaji bersih dalam RM400 sahaja. Arwah mak pernah berpesan,'Kamu Mat, kalau pindah rumah bawah nanti, gemuklah kamu...' kata dia pada kali terakhir dia meninggalkan rumahku. Dulu masa duduk flat, berat badanku 45 kg tak lebih dari tu. Kini bila dah duduk rumah teres lebih 19 tahun, dah sekali ganda lebih berat badanku.


Sesakali kenangan bersama arwah mak dan apak terimbas kembali juga. Hanya doa serta sedekah untuk mereka yang mampu aku lakukan agar roh mereka dicucuri rahmat dan didoakan agar ditempatkan dikalangan mereka2 yang di dalam syurga...Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan