Wagiman tersandar di kerusi malas. Matanya terpaku memandang awan larat yang bergerak ke timur. Dimatikannya pergerakan awan itu, lantas dapat dirasakannya bumi ini yang bergerak. Markonah, isterinya berleter lagi,” Bila lah nak pergi beli kopi ni..dah habis dah?”. Wagiman langsung tak peduli akan suara isterinya itu. Cucu Wagiman, Siloro berlari ke sana ke mari mengejar anak kucing kesayangan mereka. Wagiman meneruskan lamunannya …bumi yang dirasakannya berputar seolah-olah membawanya mengenal erti hidup yang sentiasa berputar.
Wagiman mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya. Betapa arwah ibu dan bapanya begitu mengambil berat tentang agama. Solat berjemaah selalu ditekankan. Wagiman perlu bangun awal tiap pagi. Selesai solat subuh, beliau menolong ibunya menghantar kuih ke kedai-kedai untuk jualan. Selepas tu baru beliau ke sekolah, berjalan kaki lebih kurang 5 km. Berbanding dengan orang lain, Wagiman tidak diberi wang saku tetapi membawa bekalan makanan dan air masak setiap hari. Kembali dari sekolah Wagiman mengikuti kelas mengaji AlQuran. Ustazah yang mengajarnya tidak mengenakan bayaran tetapi hanya menerima sumbangan ikhlas. Ada anak murid yang memberi beras, ikan, malahan kayu api atau membantu membersihkan halaman rumah ustazah berkenaan. Wagiman diantara murid yang disenanginya kerana rajin dan cepat dapat apa yang ajarkan. Banyak peristiwa pahit manis sepanjang pengajian beliau. Teringat akan satu hari Wagiman tidak dapat mengaji kerana dikatakan ustazahnya pergi ke Kuala Lumpur seminggu. Wagiman tak percaya kerana dia pasti ustazahnya ada dirumahnya. Beberapa tahun kemudian baru Wagiman faham. Setiap perempuan yang cukup umur akan datang haid setiap bulan dan oleh kerana dalam hadas, tidak boleh mengajar AlQuran.Alasan ke Kuala Lumpur cuma nak mengabui mata murid-murid yang tak tahu apa lagi. Wagiman mengeleng kepala dan merasa betapa bodohnya dia dalam hal ini masa itu.
Wagiman teringat pesan gurunya supaya selalu menolong orang. Tuhan akan beri pertolongan kepada kita dengan cara yang tak diduga. Betul juga fikir Wagiman. Terkenang dia suatu hari sewaktu hendak pergi memasang jaring menangkap ikan.Wagiman dan rakannya terserempak seekor kambing yang sarat terlentang di tepi jalan mungkin dilanggar kenderaan. Wagiman dan rakannya mengalih kambing berkenaan dan berusaha mencari tuan punya kambing berkenaan. Akhirnya beliau dapat menemui tuan kambing dan menyerahkan kambing itu. Wagiman terus memasang jaring di sebuah lombong tinggal walau pun hari mula hujan lebat. Keesokan harinya, Wagiman dan rakannya terkejut besar kerana jaring yang dipasangnya mengena seekor ikan tongsan seberat 12 kg dan perutnya buncit macam kambing semalam. Wagiman bersyukur dan termanggu….berbuat baik pada binatang pun ALLAH SWT balas dengan serta merta di dunia ini..apatah lagi jika berbuat baik sesama manusia.
Leteran Markonah sesekali menyelinap di cuping telinga Wagiman. Namun itu tidak menjejaskan agenda penerokaan alam fantasinya. Wagiman terkenang zaman bujangnya. Setelah agak lama bekerja di kebun membantu orang tuanya, beliau mahu perubahan dan mahu mengikuti rakan-rakan sebayanya ke bandar. Berhari-hari lamanya Wagiman memohon restu orang tuanya barulah beliau dapat pergi. Orang tuanya mahu dia berjanji dia akan jaga sembahyang dan bekerja dengan kuat. Wagiman mula bekerja sebagai buruh kilang besi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Tugas mengangkat dan memunggah amat memenatkan. Lama kelamaan terasa sakit-sakit badan. Akibat dorongan kawan-kawan, Wagiman mula mendapat perkhidmatan urut di hotel-hotel yang berhampiran. Pada mulanya beliau ingat yang mengurut itu lelaki macam Wak Sir di kampong tetapi rupa-rupanya amoi-amoi yang muda lagi cantik. Bagaikan orang ketagihan dadah, Wagiman telah mula pandai pergi berurut sendirian tanpa perlu ditemani rakan-rakan. Sedikit demi sedikit pegangan agamanya kian longgar. Perasaan ingin tahu dan ingin mencuba menyebabkab Wagiman juga telah mula mendampingi kelab malam dan dangdut terutama setelah bila beliau dinaikkan pangkat sebagai penyelia kilang dan selalu kerja lebih masa.
“Bbbbbeeeeeng….Bbbbbeeeeeng” bunyi senapang mainan cucu Wagiman mengejutkan beliau dari lamunan. Wagiman mula naik angin…”kacau aje lah budak ni….” Leter Wagiman. Kerusi malasnya berkeriut bunyinya apabila Wagiman beralih kedudukannya. Lalu diambilnya sebatang rokok Gudang Garam lalu dicucuhnya api. Kotak mancis cap King Kong yang lusuh tu kembali mengenangkan beliau satu peristiwa.
Kassim seorang pemuda berasal dari Seberang merupakan salah seorang sahabat karib Wagiman semasa di ibu kota. Beliau berpendidikan agama dan tidak tinggal solat walau pun dalam keadaan sibuk sekali pun. Ini yang menyebabkan Wagiman begitu menghormatinya. Kassim suka menghisap rokok Gudang Garam dan sering mengguna mancis cap King Kong. Walau bagaimana pun, perangai Kassim sejak akhir-akhir itu agak berlainan. Beliau sering mengasingkan diri dan tidur di surau. Beliau asyik menceritakan syurga dan neraka dan untung nasib kita manusia di akhirat nanti. Beliau amat membenci orang yang bersembahyang tetapi asyik mengutuk orang. Katanya mengapa perlu mulut yang sering memuji kebesaran ALLAH SWT dan membaca ayat-ayat suci mengeji pula makhluk ciptaan ALLAH SWT. Beliau juga tidak suka orang yang berlagak alim dan riak dalam beribadat walhal mereka dulu pun pernah bergelumang dengan dosa dan noda. Kassim ditemui mati keseorangan di tempat kerja. Mayatnya tersembam di pintu setor kilang. Bermacam-macam cerita yang timbul, ada yang kata Kassim dikhianati; ada yang kata tersilap minum spirit yang disangka air;dan tak kurang menuduhnya mengambil jalan singkat untuk meringankan beban masalah peribadi. Yang pasti tiada sesiapa yang berada di saat-saat akhir simati dan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Wagiman pasrah pada Tuhan kerana dia kenal betul sahabatnya. Kassim hidup sebatang kara. Oleh itu jenazah diurus oleh Wagiman dan rakan-rakannya. Pada pandangan zahir Wagiman, wajah jenazah nampak tenang dan seolah-olah tidur sahaja. Ada diantara rakan sekerja yang tidak mahu malah memarahi orang-orang yang mengurus jenazah tersebut. Pada mereka buat apa kasihan pada orang yang tidak kasihan pada diri mereka sendiri.Tetapi bagi Wagiman, hak orang yang hidup pada simati adalah memastikan jenazah diselenggara sebaik mungkin. Biarlah Tuhan yang menentukan. Kita sendiri pun tidak tahu apakah ketentuan Tuhan masa kita nanti. Dalam kitab Bahrul Mazi jilid 17, pernah seorang tuan guru menerangkan pada Wagiman, setiap kali dijadikan manusia, diiringi dengannya 99 cara kematian yang mungkin bakal menimpanya. Walau pun seseorang itu terlepas dari berbagai cara kematian itu, ia akhirnya juga akan mati disebabkan tua. Maka tua itu suatu penyakit yang tidak dapat diubati. Kematian Kassim meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Wagiman. Banyak kata-kata nasihat dan amanat yang selalu mengiang-ngiang di telinga Wagiman. Arwah sentiasa mengingatkan beliau supaya jangan sesekali menganiaya orang. “Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Kita ada Tuhan, biar Dia yang akan membalasnya”, begitulah diantara ucapan yang selalu dilafazkan. Ekoran peristiwa itu, Wagiman mengambil keputusan untuk kembali ke kampong dan mengerjakan kebun seperti dahulu.
Bau rokok Gudang Garam memenuhi ruang tamu. Markonah menghampiri suaminya dan berkata’” Bila lagi nak ke kedai beli kopi? Takan berkhayal aje sepanjang hari?”. Wagiman tersentak…dirasakan jenazah Kassim baru sahaja dikebumikan walau pun sudah 30 tahun berlalu. Dia rasakan baru tadi beliau berjumpa arwah ustazah yang mengajar AlQuran. Beliau rasakan baru sekejab tadi beliau menghantar kuih yang dibuat oleh arwah ibunya. Terasa baru lagi arwah ayahnya berpesan supaya jangan tinggal sembahyang. Wagiman beristigfar…itulah agaknya berlaku di akhirat nanti, hidup di dunia bagaikan mimpi sahaja. Wagiman bangun longlai, diajaknya Siliro ikut pergi ke kedai untuk membeli kopi. Nanti kalau lambat balik mungkin Markonah ingat dia mengurat Peah, janda berhias dan tuan punya kedai runcit kampong itu. Markonah perlu dijaga sekurang-kurangnya kalau Tuhan menjemput beliau pada bila-bila masa adalah orang yang bakal membaca Fatihah dan mendoakan kesejahteraannya. Kedut dahi Wagiman menyembunyikan kehebatannya di waktu muda. Markonah Kusnin, wanita jelita yang pernah menolong kerja kebun sudah pun menjadi isterinya sejak 28 tahun dahulu. Wanita inilah yang bakal membantunya melalui sisa hidup dengan penuh takwa dan penuh ketenangan. Kebahagiaan dunia tidak menghalang kesejahteraan di akhirat fikir Wagiman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan