Sabtu, 31 Oktober 2009

Mengenang jasa sifu, guru,cikgu,prof


Budaya kerja yang diterapkan oleh beliau amat berkesan sehingga ke hari ini. Waktu itu suku abad yang lalu, aku yang mempunyai Diploma Pengurusan Ladang ditugaskan membantu seorang Prof dari Serdang menjalani sabatikal. Tugas yang jauh berbeza dan terpelanting (dari Planting Industry Management), pada mulanya amat sukar tetapi hasil cara beliau mengajar cukup menarik minatku. Dari seorang dilatih menjadi pengurus ladang aku diminta membantu kerja2 mengkultur protoplas atau sel tanpa dinding sel dan kultura tisu berbagai tanaman.


Setiap hari akan mengadap mikroskop dan menyukat, mengira dan memerhati pergerakan atau saitosis dalam saitoplasma itu. Kadang2 berpinar juga mata maklumlah kadang2 sampai 500 protoplas diukur tapi lama2 biasa la. Dr Ismail semasa bekerja suka mengajarku dari perkara2 asas/basic hinggalah ke peringkat menjalankan ujikaji. Oleh kerana banyak benda tak tau kenalah pergi library buat rujukan, fotostat dan buat catatan. Masa tu internet mana ada, sekarang internet serba serbi ada, maklumat pantas di hujung jari tapi orang pula tak suka membaca!


Dr Ismail suka melukis, menulis, melakar atas kertas jika dia ingin memberi penerangan atau mengajarku. Jadi aku pun sediakan buku tulis kulit tebal untuk catat apa jua maklumat penting dan untuk rujukan lanjut. Bos aku masa tu Dr Mohd Ali Sekak (sekarang Prof) juga banyak membantu. Beliau adalah motivator yang bagus, bersahaja dan peramah. Kedua2 mereka inilah yang telah mencetus minda dan menggerakkan diriku agar melanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Peluang yang terhad untuk belajar pada masa itu menyebabkan aku terpaksa bekerja dulu membantu bos2 yang ada. Namun keadaan berubah apabila kedua2nya tiada lagi di tempat kerjaku. Terasa kehilangan sifu2 yang boleh membantu dan tempat merujuk jika ada sesuatu.


Namun begitu, walaupun aku mengambil masa hampir lebih 20 tahun untuk berada di tahap ini, sekurang2nya didikan, pengajaran mereka berdua amat meninggalkan kesan pada kerjayaku. Bila dapat berjumpa kembali baru2 ini, terasa sebak dan ceria bercampur aduk. Sebak kerana terkenang akan usaha gigih bersama satu masa dulu, bekerja dalam satu pasukan tanpa memikir masa dan tenaga sehinggakan mengabaikan kepentingan peribadi ketika itu. Sebak juga dulu kita dilatih dalam serba kekurangan tidak macam sekarang budak2 awal2 lagi bekerja sudah mewah dengan berbagai peralatan dan tenaga kerja. ARO masa itu agak mencabar, dialah yang pergi memanjat cantas pelepah, ambik bunga, sampel di kebun dan hutan, berfikir macamana nak modified media dan formula, membuat persediaan berbagai alatan dan media untuk ujikaji, mengkultur, memerhati, memantau, membuat laporan bulanan, menganalisa data2 secara statistik, membuat pembelian dan memberi ceramah. Itu yang menyebabkan ada rakan2 di pejabat ingat betul dulu2 aku ke sana ke mari bawa parang dan kapak walaupun namanya penolong pegawai!
Ceria kerana dipanjangkan umur dapat berjumpa lagi, beliau sudah pun mempunyai syarikat sendiri dan diriku dipandangnya sudah ada peningkatan dalam hidup walaupun tidak sampai ke tahap klimaks pengajian.


Apapun bersyukurlah seadanya.... masih ramai yang tak merasai nikmat dan pengalaman yang aku lalui...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan